Guru, satu gelaran yang satu ketika dulu mampu membuatkan dikalangan kita kecut perut, namun rasa hormat tetap ada pada mereka yang bergelar guru ini. Guru sememangnya mempunyai ruang lingkup tugas yang cukup luas kerana guru bukan sekadar profesion, pangkat atau panggilan untuk seseorang yang mendidik disekolah, tetapi guru sebenarnya amat rapat dan sinonim dengan kehidupan kita.
Semasa kita kecil, ibu bapalah guru yang terawal mendidik dan memantau tingkah laku kita. Mereka membimbing kita untuk berkata-kata, berjalan, berlari sehingga kesemuanya ini dapat dilakukan degan sendiri dan dari hari ke sehari, sepanjang proses kematangan dan kedewasaan, ramai yang telah menjadi guru kita.
Ada yang memberi nasihat, tunjuk ajar, cara untuk lebih berdikari dan sebagainya. Pengalaman yang dilalui juga seringkali memberikan kita satu teladan dan ilmu, dan pengalaman ini juga menjadi guru kita yang amat berharga.
Setiap kita adalah guru, samaada guru untuk anak-anak, rakan sepejabat, kawan karib dan sebagainya. Guru bukan sekadar mengajar bagaimana untuk membaca dan mengira, tetapi guru seharusnya menjadi seorang pembimbing, penasihat serta dapat mendewasakan pemikiran muridnya. Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malahan perlu memastikan ilmu yang disampaikan dapat difahami dan diamalkan oleh murinya.
Tetapi, tanpa guru dan pendidik yang bersifat sabar, tajam pemikirannya serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal, uslub ilmu tidak akan dapat difahami sepenuhnya. Hasilnya adalah murid yang hanya tahu menghafal tetapi kurang tajam daya pemikirannya.
Orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya umpama keldai membawa barang yang banyak, sedangkan orang yang beramal tanpa ilmu umpama tin yang kosong, kelihatan berisi tetapi tiada satupun isinya dapat memberikan manafaat pada dirinya dan orang lain.
Sebagai seorang muslim, perlulah kita kembali kepada asas islam, iaitu ilmu dan amal. Ini telah dicontohkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Keberkesanan kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW memang telah terbukti berjaya. Di waktu golongan jahiliyah tercari-cari erti kehidupan serta keruntuhan moral yang melanda mereka, kehadiran Rasulullah SAW telah kembali menyinari kegelapan mereka.
Dari bangsa yang jahil, mereka telah bertukar menjadi bangsa yang disegani sehingga kefahaman islam dapat disebarkan ke setiap pelosok dunia. Ini jelas menunjukkan islam merupakan agama yang amat mementingkan ilmu dan kerana itulah hukum menuntut ilmu itu adalah wajib didalam islam.
Baginda SAW mempuyai sikap tidak berputus asa, malahan segala halangan akan menjadikan semangatnya semakin kuat dalam memberikan kefahaman ilmu kepada sahabat yang tidak dapat memahami sesuatu ilmu yang cuba disampaikan. Semangat sebeginilah seharusnya dimiliki oleh setiap guru dalam menghadapi pancaroba pendidikan zaman ini.
Kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW ini harus dijadikan elemen utama dalam menerapkan kefahaman ilmu kepada setiap murid kerana Baginda SAW merupakan guru dan pendidik terulung sepanjang zaman yang mempunyai kemahiran yang terbaik dalam proses mentarbiah jasmani dan rohani. Pasti hasil didikan dengan kaedah ini akan membuahkan hasil yang dapat merealisasikan harapan agama, negara dan bangsa.
Oleh itu, pastinya Hari Guru bukan sekadar diraikan untuk golongan ini sahaja, tetapi hari guru ini juga boleh disambut dan diraikan oleh setiap mereka yang telah memainkan peranan sebagai seorang guru dan pendidik. Selamat Hari Guru untuk semua.
Sumber : Artikel Kita Semua Adalah Guru