Selamat Datang ke Laman Rasmi Alumni MRSM Tawau, Sabah! Semoga Laman ini memberi INFO kepada anda semua. Salam dari kami, Alumnians MRSM Tawau, Sabah. ( ALMART )

Penantian UPU 2012 Terjawab

Posted by alumnimrsmtawau On 10:59 PM


TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH!




UPU telah diumumkan, Syabas dan Tahniah buat semua! Ramai yang berpuas hati dengan tawaran kursus yang diterima. Melihat kepada respon yang diterima, rata-ratanya sangat berpuas hati dan gembira dengan kursus yang bakal mereka jalani dalam peringkat IJAZAH SARJANA MUDA.

Selepas ini, persiapkanlah diri untuk memasuki alam UNIVERSITI. Disiplin dan Kematangan akan menjadikan seseorang itu terus tabah dan cekal mengharungi liku-liku kehidupan alam UNIVERSITI kelak sekaligus membawa kejayaan dan kecemerlangan. Syabas dan Tahniah!


Atur semula keutamaan anda! Letakkan keutamaan yang anda rasakan perlu difokuskan di bahagian paling atas carta keutamaan anda. Lakukan perncangan awal. Ingat! Kejayaan itu bermula dari perancangan awal yang rapi.


Alam UNIVERSITI tidak sama dengan alam pra-u dan asasi. Jangan terlalu lama berehat hingga membawa kepada kelekaan. Ingat! masih banyak yang perlu dipelajari. Ilmu itu luas, dan carilah ilmu walau di mana sahaja berada.

Kata-kata setengah cendekiawan, " Jangan belajar untuk berjaya, belajarlah untuk membesarkan jiwa."

Akhir kalam, Selamat menjadi MAHASISWA/WI UNIVERSITI.

Semakan Boleh dibuat di Laman UPU.

Sila kemaskini data anda di SINI ----> Maklumat Diri Batch 2 MRSM Tawau ( 2009 / 2010 )

Hantaran Oh Hantaran

Posted by alumnimrsmtawau On 1:16 AM


Hantaran oh Hantaran

"Kalau dulu, majlis yang pakai khemah yang tinggi-tinggi ni majlis wakil rakyat jer", Pakcik Wahid memulakan bicara.

"Sekarang Paie tengok, majlis bertunang pun orang dah buat majlis besar-besaran. Siap pasang khemah banyak-banyak pulak tu",tambahnya lagi.

Saya mengangguk tanda setuju.

Memang diakui. Kebelakangan ini semakin rancak majlis pertunangan diadakan. Jika dahulu kita dapat dengar orang memperkatakan tentang wang hantaran semakin tinggi disebabkan harga minyak petrol naik, sekarang ramai pula yang memperkatakan tentang kenduri sempena bertunang.

Mengapa majlis bertunang sudah gah ditontonkan kepada masyarakat?

Sedangkan ianya sangat bertentangan dengan apa yang Rasulullah Sholallahu A'laihi Wasalam pesankan kepada kita. RAHSIAKAN PERTUNANGAN, HEBOHKAN PERNIKAHAN.

Kita belum tahu lagi apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkinkah masyarakat kita akan buat Majlis Perkenalan sebelum dilangsungkan Majlis Pertunangan! Siapa tahu?

PERIHAL MAJLIS PERTUNANGAN

"Kita jangan ikut artis. Apa yang artis buat semua nak tiru sedangkan tak mampu. Last-last yang susahnya pihak lelaki yang kena sediakan hantaran tinggi sebab pihak perempuan nak buat majlis pertunangan. Nak grand la katakan. Adoi", keluh Pakcik Wahid lagi.

Majlis bertunang sudah dibuat kad jemputan. Majlis bertunang pun sudah ada pelamin.Majlis bertunang sudah dijemputnya pasukan kompang. Majlis bertunang juga sudah ada baju bertunang. Semuanya persis sebuah majlis perkahwinan yang membazir.

Apabila semua ini telah menjadi satu 'keperluan' kepada masyarakat, semakin tinggilah kos sebuah perkahwinan.


Apa yang lebih membimbangkan, ada pasangan yang sanggup berhutang untuk mengadakan majlis bertunang tetapi baru hari ini bertunang esok sudah putus!

Ikatan pertunangan adalah proses berkenal-kenalan sesama pasangan dan keluarga. Jika dalam tempoh bertunang itu dirasakan tidak sesuai, tidak mengapa jika diputuskan pertunangan kerana dikhuatiri akan membawa masalah selepas berkahwin.

Jika bertunang pun diheboh-hebohkan, tidakkah malu bagi pihak perempuan jika pertunangan mereka terpaksa diputuskan? Sedangkan bertunang itu bukanlah satu ikatan sah.

WANG HANTARAN MAHAL?

Masih ingat lagi dengan jadual WANG HANTARAN MENGIKUT TARAF PENDIDIKAN yang popular di Facebook sekarang?

UPSR, PMR/SRP : RM1,000 – RM3,000
SPM : RM3,000 – RM8,000
STPM/DIPLOMA : RM8,000 – RM12,000
DEGREE : RM12,000 – RM15,000
2ND DEGREE/MASTER : RM15,000 – RM20,000
PHD : RM20,000 – RM30,000

Tak mustahil semua ini akan menjadi fenomena Global! Kebiasaannya sekarang, pihak perempuan akan minta wang hantaran sebanyak RM10,000 atau lebih. Fikirkan, bagaimana mahu mencari duit yang sebanyak itu? Sebab itulah ramai yang pinjam ALONG untuk TOLONG mereka kahwin dan akhirnya TERLOLONG begitu sahaja (tak mampu bayar pinjaman).

Mungkinkah seorang lelaki yang baru menamatkan pengajian di Universiti dan baru mula bekerja dapat mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh yang sangat minima?

Tidak semua mendapat gaji yang tinggi sewaktu mula-mula bekerja. Ditambah lagi dengan bebanan pinjaman pendidikan yang perlu dilangsaikan, memang sangat memeritkan kepada pihak lelaki untuk mengumpul wang untuk berkahwin.

CINTA PUNYA PASAL

"Kerana cintaku kepadamu, akanku bayar seluas lautan untukmu" (Cewahhh!!)

Bagi lelaki pula, cinta menyebabkan mereka sanggup untuk mengharungi semua itu. Berapa yang pihak perempuan minta disanggupkan sahaja. Kalau tak dapat nak sediakan wang hantaran yang diminta, ramai lagi anak Dato' yang bersusun untuk meminang si dara. Melepas nanti!

Jika soal cinta diperjuangkan, mengapa pula si dara tidak mahu membantu si teruna untuk meminangnya? Bukankah jika ada cinta semuanya akan mudah belaka? Mengapa pihak perempuan tidak mahu menasihati keluarganya untuk meletakkan kadar hantaran yang MAMPU BAYAR kepada pihak lelaki.

Bukankah itu juga satu bentuk pengorbanan dalam cinta oleh pihak perempuan?

WANG HANTARAN SESUATU YANG WAJIB KE?

Kos berkahwin yang begitu tinggi menyebabkan ramai lelaki menangguhkan perkahwinan mereka. Bukannya soal tiada calon tetapi sebab tak ada ongkosnya!

Tetapi jika kita kembali kepada Islam, perkahwinan sangat dipermudahkan. Ada kisah seorang sahabat Nabi yang mahu berkahwin tetapi tidak mempunyai wang :

Dari Riwayat Muslim, hadis Sahl bin Saad RA katanya :
Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata:
"Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu".

Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.

Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata:
"Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya kahwinkanlah aku dengannya".

Nabi SAW segera bertanya: "Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan MAS-KAHWIN".
Sahabat menjawab: "Tidak ada!"

Nabi SAW bersabda: "Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin".

Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata:
"Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin".

Maka Nabi SAW bersabda lagi:
"Carilah walaupun sebentuk CINCIN BESI".

Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata:

"Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya".
(Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).

Nabi SAW bersabda : "Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai".

Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Nabi SAW bertanya:
"Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran?"

Sahabat tersebut menjawab: "Aku hafaz surah itu dan surah ini".
Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi:
"Adakah engkau membacanya secara hafalan?"
Sahabat tersebut menjawab: "Ya!"

Nabi SAW nersabda :
"Pergilah! Engkau telah memilikinya bermas-kahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz".

Sesungguhnya Islam tidak meletakkan kadar Mas Kahwin yang wajib diberikan kepada isteri. Tetapi kebetulan pula setiap negeri sudah meletakkan harga Mas Kahwin yang wajib dibayar oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan harga mas kahwin itu tidaklah terlalu membebankan. Misalnya di Selangor, harga mas kahwin hanya RM300 sahaja!

Hantaran dan Mas Kahwin sesuatu yang berbeza. Hantaran adalah adat dan mas kahwin adalah syariat. Mudahkan perkahwinan dan jangan bebankan dengan sesuatu yang tidak perlu.

Berbelanja mengikut kemampuan dan tak perlu mengejar populariti dalam perkahwinan. Apa yang penting bukannya majlisnya yang 'meletup', tetapi pengisian selepas perkahwinan yang harus hebat (bertanggungjawab dalam perkahwinan).

Renungkan apa yang Nabi Muhammad pesan kepada kita tentang soal perkahwinan :

"Daripada Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: 'Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling murah (rendah) maharnya.'"
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Di akhir perbualan saya dengan Pakcik Wahid, "Kalau Paie nak pinjam duit kat pakcik untuk kahwin, lebih baik pakcik yang kahwin!"

Apakah?

Sumber : Iluvislam

Solat Sepanjang Hayat

Posted by alumnimrsmtawau On 1:05 AM


Tunaikanlah solat itu kerana solat itu adalah tiang agama

"Dan orang orang-orang yang menjaga solatnya. Mereka itu dimuliakan di dalam syurga. "(Al-Maarij: 34-35)

Solat menjadi keutamaan dalam Islam. Solat bukan setakat ritual wajib lima waktu dan 17 rakaat dalam sehari. Solat adalah ibadah yang paling mulia yang diperintahkan Allah SWT kepada umat manusia agar terhindar dari perbuatan keji dan mungkar.

Kerana itu, yang terpenting dalam solat bukan setakat melaksanakan, tetapi mendirikan. Melaksanakan sebatas mengerjakan ritual keagamaan tanpa mempunyai kesedaran dan pemahaman mendalam terhadap makna solat. Mendirikan dibina dengan landasan kesedaran akan dekatnya Allah SWT.

Kesedaran membangkitkan kecintaan dalam menjalankan perintah-perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Jadi Quran surah Al-Ankabut ayat 45 berbunyi "Sesungguhnya solat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar," benar-benar meresap ke dalam hati.

Dari sini diketahui bahawa perintah solat bukan hanya sekadar melakukan pelaksanaannya, melainkan lebih dari itu. Benar solat adalah gerakan badan dan bacaan yang tertentu terdiri dari berdiri, duduk, ruku ', sujud, tasbih, tahmid dan sebagainya. Akan tetapi yang mendatangkan pahala adalah yang mendirikan solat disertai kehadiran hati di dalamnya.

Ini yang membezakan antara orang-orang melakukan solat. Meski zahirnya gerakan-gerakan dan waktunya sama tetapi ia akan berbeza dan bertingkat-tingkat di dalam menghadirkan hati dan kekhusyukan.

Di dalam mendirikan solat terdapat pemenuhan terhadap naluri manusia iaitu butuh, lemah, suka meminta, mengharapkan perlindungan, berdoa, munajat dan menyerahkan segala urusan kepada yang lebih kuat, penyayang, penyabar dan lebih sempurna.

Al-Quran secara tegas memerintahkan seseorang untuk selalu minta pertolongan di antaranya adalah dengan solat. Hal ini dapat dilihat pada firman Allah SWT Quran surah Al-Baqarah ayat 45, "Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk ".

Ayat ini berbicara mengenai sifat dan keadaan manusia yang mempunyai sifat cepat berkeluh-kesah. Ketika mendapatkan keburukan dan kebaikan selalu ada respon negatif. Tetapi ada di antara manusia yang dikecualikan oleh Allah iaitu orang-orang yang solat.

Solat juga menjadi bukti nyata akan kesyukuran dan penghambaan diri kepada-Nya. Oleh kerana itu orang yang mendirikan solat bagaikan ikan yang tidak boleh hidup kecuali di dalam air, maka apabila ia keluar dari air ia sangat memerlukannya dan ingin sekali lari kembali ke dalamnya.

Betapa banyak dan besar kepentingan solat yang disebutkan dalam Quran. Dalam pelbagai ayatnya, Quran telah menerangkan keutamaan dan buah yang akan didapati dari solat seperti pahala bagi yang mendirikan dan siksaan terhadap yang meninggalkannya. Dalam beberapa rujukan, Quran juga menegaskan solat mempunyai ruh dan esensi yang harus direalisir sehingga seorang manusia mampu hidup dengan solat dan solat hidup dengannya. Sehingga sepanjang hayat hidup bersolatlah.

Sumber : Detik Islam

Special Tribute for MRSM Tawau Teacher's Day 2012

Posted by alumnimrsmtawau On 10:27 PM


Guru, satu gelaran yang satu ketika dulu mampu membuatkan dikalangan kita kecut perut, namun rasa hormat tetap ada pada mereka yang bergelar guru ini. Guru sememangnya mempunyai ruang lingkup tugas yang cukup luas kerana guru bukan sekadar profesion, pangkat atau panggilan untuk seseorang yang mendidik disekolah, tetapi guru sebenarnya amat rapat dan sinonim dengan kehidupan kita.

Semasa kita kecil, ibu bapalah guru yang terawal mendidik dan memantau tingkah laku kita. Mereka membimbing kita untuk berkata-kata, berjalan, berlari sehingga kesemuanya ini dapat dilakukan degan sendiri dan dari hari ke sehari, sepanjang proses kematangan dan kedewasaan, ramai yang telah menjadi guru kita.

Ada yang memberi nasihat, tunjuk ajar, cara untuk lebih berdikari dan sebagainya. Pengalaman yang dilalui juga seringkali memberikan kita satu teladan dan ilmu, dan pengalaman ini juga menjadi guru kita yang amat berharga.

Setiap kita adalah guru, samaada guru untuk anak-anak, rakan sepejabat, kawan karib dan sebagainya. Guru bukan sekadar mengajar bagaimana untuk membaca dan mengira, tetapi guru seharusnya menjadi seorang pembimbing, penasihat serta dapat mendewasakan pemikiran muridnya. Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malahan perlu memastikan ilmu yang disampaikan dapat difahami dan diamalkan oleh murinya.

Tetapi, tanpa guru dan pendidik yang bersifat sabar, tajam pemikirannya serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal, uslub ilmu tidak akan dapat difahami sepenuhnya. Hasilnya adalah murid yang hanya tahu menghafal tetapi kurang tajam daya pemikirannya.

Orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya umpama keldai membawa barang yang banyak, sedangkan orang yang beramal tanpa ilmu umpama tin yang kosong, kelihatan berisi tetapi tiada satupun isinya dapat memberikan manafaat pada dirinya dan orang lain.


Sebagai seorang muslim, perlulah kita kembali kepada asas islam, iaitu ilmu dan amal. Ini telah dicontohkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Keberkesanan kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW memang telah terbukti berjaya. Di waktu golongan jahiliyah tercari-cari erti kehidupan serta keruntuhan moral yang melanda mereka, kehadiran Rasulullah SAW telah kembali menyinari kegelapan mereka.

Dari bangsa yang jahil, mereka telah bertukar menjadi bangsa yang disegani sehingga kefahaman islam dapat disebarkan ke setiap pelosok dunia. Ini jelas menunjukkan islam merupakan agama yang amat mementingkan ilmu dan kerana itulah hukum menuntut ilmu itu adalah wajib didalam islam.

Baginda SAW mempuyai sikap tidak berputus asa, malahan segala halangan akan menjadikan semangatnya semakin kuat dalam memberikan kefahaman ilmu kepada sahabat yang tidak dapat memahami sesuatu ilmu yang cuba disampaikan. Semangat sebeginilah seharusnya dimiliki oleh setiap guru dalam menghadapi pancaroba pendidikan zaman ini.

Kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW ini harus dijadikan elemen utama dalam menerapkan kefahaman ilmu kepada setiap murid kerana Baginda SAW merupakan guru dan pendidik terulung sepanjang zaman yang mempunyai kemahiran yang terbaik dalam proses mentarbiah jasmani dan rohani. Pasti hasil didikan dengan kaedah ini akan membuahkan hasil yang dapat merealisasikan harapan agama, negara dan bangsa.

Oleh itu, pastinya Hari Guru bukan sekadar diraikan untuk golongan ini sahaja, tetapi hari guru ini juga boleh disambut dan diraikan oleh setiap mereka yang telah memainkan peranan sebagai seorang guru dan pendidik. Selamat Hari Guru untuk semua.






Tips Pelajar Cemerlang

Posted by alumnimrsmtawau On 10:54 AM




Tip 1
Tuhan mencipta kita dengan penuh kesempurnaan. Bertindaklah dengan cemerlang.

Tip 2
Pelajar yang tidak berdisiplin semasa belajar besar kemungkinan tidak berdisplin sepanjang hayat.

Tip 3
Semua orang ingin berjaya tetapi cuma segelintir yang berjaya kerana mereka berjaya mengawal nafu dan emosi.

Tip 4
Kita mudah lupa apa yang kita dengar. Kita sekadar tahu apa yang kita lihat. Kita akan faham apa yang kita amalkan atau praktikkan.

Tip 5
Apabila kita belajar dengan niat untuk berkongsi ilmu ataupun mengajar orang lain, kita akan dapat kefahaman dan daya ingatan yang luar biasa.

Tip 6
Setiap hari carilah alasan untuk berubah secara positif.

Tip 7
Di dalam dunia ini, cuma kita berupaya mengubah diri kita.

Tip 8
Apabila kita berubah, semua orang di sekeliling kita akan berubah seiringan dengan perubahan kita.

Tip 9
Setiap masalah berpunca daripada diri kita sendiri. Kita yang perlu menyelesaikannya.

Tip 10
Segala kehebatan sudah ada dalam diri kita. Sekadar menanti untuk diserlahkan.

Tip 11
Orang biasa yang melakukan tindakan luar biasa menghasilkan prestasi luar biasa.

Tip 12
Jadikan setiap hari adalah hari terbaik dan sepanjang kehidupan anda akan cemerlang.

Tip 13
Kejayaan = Hidayah + Ilmu + Amal + Ikhlas + Istiqamah + Berterusan berubah secara positif.

Tip 14
Kejayaan adalah melakukan rutin yang positif secara berterusan.

Tip 15
Kegagalan adalah melakukan satu ataupun dua kesalahan berulang kali.

Tip 16
Orang yang penyayang akan dikelilingi oleh ramai orang yang sayang kepadanya.

Tip 17
Orang yang pembenci akan dikelilingi oleh ramai orang yang benci kepadanya.

Tip 18
Pelajar yang serasi rohnya dengan roh gurunya akan mendapat keberkatan ilmu.

Tip 19
Sayangi dan doakan semua guru untuk serasikan roh dengan guru dan mendapat keberkatan ilmu.

Tip 20
Sayangi, bantu dan doakan semua kawan-kawan anda bagi mendapat keberkatan dalam pembelajaran.

Tip 21
Maafkan semua orang sebelum tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda.

Tip 22
Orang yang hatinya bersih makbul doanya, cerdas otaknya, sihat badannya, cun wajahnya dan ramai kawannya.

Tip 23
Mulai hari ini perbaiki setiap tindakan dan amalan kta untuk menjadi pelajar terbilang.

Tip 24
Jadikan diri anda sebagai ‘besi berani’ yang sentiasa menarik perkara positif kepada diri anda.

Tip 25
Sedarilah hakikat bahawa setiap perubahan yang anda lakukan akan mengubah dunia di sekitar anda.

Tip 26
Anda tidak boleh berubah selagi anda tidak menerima hakikat yang anda perlu berubah.

Tip 27
Langkah pertama untuk berubah ke arah yang lebih cemerlang adalah dengan menerima hakikat yang anda sebenarnya bermasalah.

Tip 28
Orang cemerlang menunjukkan hasil. Orang gagal memberi alasan.

Tip 29
Kenali diri anda yang sebenar sebelum anda dapat menyerlahkan kecemerlangan diri anda.

Tip 30
Tuhan bertindak seperti mana yang difikirkan oleh hambanya. Tip 31 Perbaiki hubungan kita dengan Tuhan dan Tuhan akan memperbaiki hubungan kita sesama manusia.

Tip 32
Tuhan mencipta kita bagi melengkapkan dunia ini. Justeru, jadilah insan yang memberi manfaat kepada makhluk di atas muka bumi.

Tip 33
Semua orang sama ada baik ataupun tidak, adalah aset kepada kita dan membawa kebaikan secara langsung ataupun secara tidak langsung.

Tip 34
Pelajar terbilang sentiasa taat perintah Tuhan. Dirikan sembahyang lima waktu dengan istiqamah.

Tip 35
Pelajar yang ingkar perintah Tuhan tidak mungkin menjadi pelajar yang cemerlang.

Tip 36
Pelajar yang cemerlang bersedia membantu kawan dan bersedia dibantu.

Tip 37
Pelajar yang cemerlang dapat mengawal emosi dan sentiasa ceria dan bersemangat.

Tip 38
Pelajar yang cemerlang mempunyai matlamat yang jelas, hebat dan dapat membakar semangatnya.

Tip 39
Pelajar yang cemerlang mahir dengan strategi dan terknik pembelajaran yang berkesan dan sentiasa tekun belajar.

Tip 40
Pelajar yang cemerlang mempunyai imej diri positif dan yakin diri.

Tip 41
Pelajar yang cemerlang tekun menjalani riadah bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Tip 42
Pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.

Tip 43
Pelajar dapat mengingat sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan dengan menjawab soalan yang berkaitan dengan bahan yang dibaca.

Tip 44
Cari tempat tenang untuk belajar. Elakkan mendengar muzik semasa belajar.

Tip 45
Belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu.

Tip 46
Senyum sambil belajar membantu proses pembelajaran.

Tip 47
Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. Tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.

Tip 48
Bangun pagi dengan tersenyum dan berdoa supaya sepanjang hari menjadi ceria dan bersemangat.

Tip 49
Orang yang gembira tidak semestinya tersenyum. Tetapi orang tersenyum pasti gembira.

Tip 50
Apabila anda sudah biasa membuat silap, apa yang betul terasa silap dan yang silap terasa betul.

Tip 51
Semua orang mempunyai sumber yang diperlukan untuk menjadi orang cemerlang.

Tip 52
Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.

Tip 53
Setiap kegiatan yang kita lakukan masih belum sempurna dan masih boleh diperbaiki.

Tip 54
Orang yang berfikiran negatif mempunyai sepuluh kali ganda peluang mendapat sakit berbanding orang yang berfikiran positif.

Tip 55
Makanan kepada penyakit adalah pemikiran yang kotor dan negatif.

Tip 56
Kunci pembangunan diri adalah bersedia melakukan perubahan positif walaupun kecil, hari ini juga.

Tip 57
Dengan mendidik orang lain, kita akan menyentuh kehidupannya sepanjang hayat.

Tip 58
Semua penyakit ada ubatnya. Ubatnya ada di dalam diri kita.

Tip 59
Buatlah kebaikan atau perubahan positif setiap hari seolah-olah hari ini mungkin hari kita yang terakhir di dunia ini.

Tip 60
Orang cemerlang suka melakukan perkara yang orang gagal tidak suka lakukan.

Tip 61
Apabila anda berani mengaku bersalah, itu tanda anda semakin bijaksana.

Sumber : Tips Pelajar Cemerlang Dato' DR. Fadzilah Kamsah

7 Tips Cemerlang Menghadapi Peperiksaan

Posted by alumnimrsmtawau On 10:51 AM




1. Semak jadual 

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.


2. Kunci peperiksaan 

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.


3. Tentukan keutamaan 

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.


4. Banyak mengingat dan membuat kaitan 

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.


5. Merancang persiapan peperiksaan 

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.


6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan 

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.


7. Berdoa dan bertawakal 

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Sumber : 7 Tips Cemerlang Menghadapi Peperiksaan

Tips Menghadapi Peperiksaan

Posted by alumnimrsmtawau On 10:18 AM






Sebelum Peperiksaan :

Pastikan semua nota dikemaskini dan disusun rapi mengikut aturan sinopsis kursus
Ulangkaji nota secara konsisten secara individu
Bina dan jawab soalan daripada nota kuliah
Semak soalan-soalan yang lepas
Jumpa dan berbincang dengan pensyarah/guru bagi mengenalpasti teknik menjawab soalan yang dikenalpasti
Adakan perbincangan dalam kumpulan kecil bersama-sama rakan secara konsisten
Jadi guru dan ajar kepada rakan-rakan anda berkaitan dengan sesuatu topik
Dapatkan jadual peperiksaan, semak dengan rakan bagi memastikan tarikh, masa dan kursus tepat
Buat satu jadual yang dapat dilihat jelas.

Hari Peperiksaan :

Bangun awal dan solat subuh
Amalkan membaca Surah Yasin ( Dapat Mempermudahkan Urusan )
Bersarapan sebelum ke dewan peperiksaan
Datang awal ke dewan peperiksaan
Tenangkan fikiran dan elakkan membuat perbincangan di saat akhir bersama-sama dengan rakan
Fokuskan pemikiran anda terhadap apa yang anda ketahui
Bercakap dengan rakan anda sekiranya ia dapat memberi ketenangan kepada anda

Semasa Peperiksaan :

Baca arahan dengan teliti.
Pastikan apa yang perlu anda lakukan dan bagaimana hendak melakukannya
Baca setiap soalan dengan teliti.
Gariskan perkataan yang penting dalam soalan
Uruskan masa bagi menjawab setiap soalan.
Lakarkan jawapan dengan menggunakan teknik peta minda dan pastikan dapat memenuhi kehendak soalan.
Tulis jawapan mengikut urutan isi dengan tulisan yang jelas dengan menggunakan pen berdawat terang (hitam)
Jawab soalan yang mudah terlebih dahulu sebelum memberi perhatian pada soalan yang sukar
Susun kertas jawapan mengikut urutan nombor soalan
Pastikan nombor angkagiliran ditulis dengan jelas pada setiap helaian kertas jawapan
Ikat kertas jawapan dengan kemas dan pastikan semua arahan dituruti
Letakan kertas jawapan di atas meja sehinggalah dipungut oleh pengawas peperiksaan.

Selepas Peperiksaan :

Elakkan daripada membuat ‘post mortem’ bersama-sama dengan rakan selepas waktu peperiksaan.
Tenangkan fikiran anda dan cuba memberi tumpuan terhadap kertas peperiksaan yang lain
Yakin diri anda yang anda telah membuat habis baik dalam peperiksaan
Releks dan lakukan aktiviti riadah sebelum menghadapi kertas peperiksaan yang lain.

Sumber : Cikgu Jumali

Gagal Memahami Zina Hati

Posted by alumnimrsmtawau On 10:06 AM



“Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda.

“Itulah dulu pun saya ada kekasih, dan kami saling cinta menyintai dan merancang untuk berkahwin apabila sampai masanya, tapi apabila saya tahu hubungan saya dengan dia tu menyebabkan saya dan dia terjebak dengan zina hati maka saya putuskan”

Seringkali saya mendengar kata-kata seperti itu keluar melalui kata-kata atau tulisan daripada mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja persatuan-persatuan Islam atau kerja-kerja dakwah remaja. Pada mulanya saya buat tak kisah atau dengan kata lain buat tak port kerana saya menganggap kes-kes itu sebagai kes terpencil yang biasanya berlaku di zaman sekolah menengah. Biasalah tu budak-budak sekolah yang baru dalam proses pra-matang kepada matang, baru nak up orang kata, pedulikanlah.

Tapi apabila ada pelajar di peringkat universiti yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya mula tertanya-tanya dan bersyak wasangka, “Eh takkanlah pelajar universiti yang bakal keluar sebagai pemimpin masyarakat pun tak faham-faham lagi, mustahillah”. Tapi ternyata, sangkaan saya itu meleset sama sekali. Mimpi buruk melanda diri setelah melancong ke laman-laman web internet yang mempromosikan keislamikkan mereka. Saya terkejut apabila mendapati ketempangan yang cukup serius dalam memahami apa yang diistilahkan sebagai zina hati.


MAKSUD ZINA HATI DAN ZINA KECIL YANG LAIN

Sabda Rasulullah s.a.w:

(إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى (6/2438، رقم 6238)، ومسلم (4/2046، رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم 2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان (4/365، رقم 5428).

وفي رواية مسلم: (كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ).

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya. Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim (4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam Shu’ab Iman (4/365, no 5428).

Dan dalam riwayat Imam Muslim:

Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya.

Hadith pertama menggunakan istilah zina nafsu, manakala hadith yang kedua pula menggunakan istilah zina hati. Hadith inilah yang menjadi hujah tentang wujudnya zina yang dinamakan dengan zina hati dan tidak syak lagi hadithnya adalah hadith yang sahih.

Tidak dipertikaikan kewujudan istilah zina hati dan asasnya dalam Islam, tetapi apa yang dipertikaikan adalah kegagalan ramai daripada kalangan mereka yang bercakap tentangnya untuk mengupasnya secara ilmiyyah sehingga adakalanya membuatkan remaja dan pemuda salah faham yang seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang tempang dalam beragama.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zina hati? Adakah jatuh cinta kepada seseorang itu dianggap zina hati? Adakah teringatkan seseorang itu zina hati? Mungkin sebahagian daripada kita akan menjawab: “Ya, itulah zina hati”. Apabila ditanya lagi  mengapa itu zina hati? Jawab mereka: “Kerana kita mengingati seseorang yang ajnabi (bukan mahram) yang tidak halal buat kita”!!!

Kalau anda meletakkan sebab pengharamannya adalah kerana dia ajnabi tidak halal bagi kita, bagaimana anda mahu menafsirkan firman Allah dalam Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi yang teringatkan perempuan ajnabiyyah yang tidak halal buatnya?

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:

))عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً((

Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة / iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan ini. Lalu Allah berfirman: “Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik”.

Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).

Bukankah perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata: “Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia”.

Justeru apa yang dapat difahami daripada ayat tersebut adalah: Tiada masalah dalam mengingati perempuan tersebut, tapi jangan fikir nak buat yang bukan-bukan yang bertentangan dengan syarak’. Itulah apa yang sepatutnya difahami daripada firman Allah tersebut.

Kalau mengingati perempuan yang ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah melarang para sahabat daripada mengingati perempuan, tetapi Allah sendiri tidak melarang bahkan memberi izin.

Justeru, yang dimaksudkan dengan zina hati itu adalah hati yang menaruh niat untuk berzina, menikmati hubungan persetubuhan luar nikah. Itu yang dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk kembali konteks hadith berkaitan zina hati secara keseluruhan. Tidakkah di pengakhiran hadith tersebut Nabi ada menyebut:

وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya”. Bermakna semua perkara daripada tangan, kaki, telinga, mata, lidah, hati yang menuju ke arah persetubuhan haram barulah dipanggil dengan zina. Sebab itu disebut di pengakhiran hadith: “Kemaluan itu yang akan menentukan berlaku atau tidak berlakunya zina”.

Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya:

“فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم” أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)

Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).

Jadi, zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah pandangan yang menggoda dan penuh syahwat.

Dengan itu juga, menyampaikan kata-kata mesra kepada bukan mahram bukanlah semestinya tergolong sebagai “zina lisan”. Yang tergolong sebagai “zina lisan” adalah kata-kata pujuk rayu dan godaan kepada nafsu berahi.

Begitu juga halnya dalam masalah mengingati atau merindukan si dia atau pun merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia, bukanlah serta merta boleh tergolong sebagai “zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah mengharap dan menginginkan kepada persetubuhan luar nikah sebagai memenuhi syahwat.

EKSTREMIS DI DALAM ISU ZINA HATI

“Melihat perempuan itu haram”

“Mendengar suara perempuan itu haram”

“Mengingati bayangan perempuan itu haram”

“Semua itu adalah zina”

Biasa mendengar klausa-klausa kata sebegitu? Banyak kali dengar kan? Mungkin agaknya mereka mahu menjadikan perempuan itu sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini, dan bagi perempuan pula mereka mahu menjadikan makhluk lelaki sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini.

Sampai begitu sekalikah pandangan anda tentang pengharaman segala yang datang daripada perempuan atau segala yang datang daripada lelaki? Sedangkan khinzir pun tidak sampai ke tahap itu diharamkan dalam Al-Qur’an. Yang hanya diharamkan adalah makan dagingnya sahaja.

Apakah sebenarnya pengharaman dalam masalah perhubungan antara lelaki dan perempuan? Adakah perempuan itu haram semata-mata kerana dirinya حرام لذاته / haram lizatihi, atau haram kerana perkara luaran lain حرام لغيره / haram lighairihi?

Melihat perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata pandangan kepada perempuan itu haram atau pandangan itu haram disebabkan unsur luaran lain?

Tentunya pandangan yang diharamkan adalah pandangan yang disertai dengan syahwat, pandangan yang menggoda dan bernafsu. Itulah sebab kepada pengharaman pandangan bukan semata-mata kerana pandangan biasa.

Suara perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata suara kepada perempuan itu haram atau suara itu haram disebabkan unsur luaran lain?

Tentunya suara yang diharamkan adalah suara yang dilunakkan untuk menarik perhatian, suara manja mendodoi, suara-suara gedik. Suara sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata suara biasa.

Mengingati perempuan itu? Adakah semata-mata ingat kepada perempuan itu haram atau ingatan itu haram disebabkan unsur luaran lain?

Tentunya ingatan yang diharamkan adalah ingatan yang membayangkan keseksian susuk tubuh perempuan, membayangkan untuk bersetubuh dengan perempuan dan bayangan yang membangkitkan berahi. Ingatan dan bayangan sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata ingatan biasa.

Itulah hal-hal yang dipanggil zina kecil. Pengakhiran yang menentukannya adalah kemaluannya sama ada menjebakkannya ke kancah perzinaan hakiki atau tidak.

SEJAUH MANA DOSA ZINA TANGAN, KAKI, TELINGA, MATA, LIDAH, HATI?

Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa:

“فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم” أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)

Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).

Kata Ibnu Abbas pula:

“مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَهُ لَا مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ)”. رواه البخاري (8/67، رقم 5774) ومسلم (8/52، رقم 4801).

“Aku tidak melihat sesuatu yang lebih menyerupai Al-Lamam itu kecuali daripada kata-kata Abu Hurairah daripada Nabi s.a.w (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya)”. Riwayat Imam Bukhari (8/67, no 5774), dan Imam Muslim (8/52, no 4801).

Apa yang dimaksudkan dengan Al-Lamam? Al-Lamam bermaksud dosa kecil yang tidak akan selamat daripadanya kecuali mereka yang dilindungi dan dijaga oleh Allah. Ibnu Mas’ud, Abu Said, Huzaifah, dan Masruq berpendapat bahawa: Al-Lamam itu ialah selain daripada bersetubuh, sama ada ciuman, sentuhan, pandangan, dan baringan. (Rujuk Tafsir Al-Qurthubi, jilid 17, m/s 106, cetakan Dar Alamil kutub)

Perkataan Al-Lamam ini disebut dalam firman Allah dalam Al-Qur’an, Surah An-Najm , ayat ke-32 :

((وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى (31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ …))

Maksudnya: “Dan bagi Allah segala yang di langit dan di bumi, supaya dia membalas mereka yang berbuat buruk dengan apa yang mereka kerjakan, dan membalas mereka yang baik dengan kebaikan. Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji kecuali Al-lamam, Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Luas keampunannya…”

Contoh daripada hadith ini mungkin boleh membantu soal pengampunan dosa Al-Lamam:

أَنَّ رُجلا أصَابَ من امرأَةٍ قُبْلَة، فأتَى النبيَّ صلى الله عليه وسلم، فذكر ذلك له، فَنزلت ((وأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفا مِنَ اللَّيْلِ، إنَّ الْحَسَناتِ يُذْهِبْنَ السَيِّئاتِ ذلكَ ذِكْرى لِلذَّاكِرين)) [ هود : 116]. فقال الرجل : يا رسول اللّه، أَلِيَ هذه ؟ قال: «لمنْ عمل بها من أُمَّتي». أخرجه البخاري (1/140)، ومسلم (8/101).

Maksudnya: “Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu dia datang bertemu Nabi dan menceritakan perkara itu kepada Nabi”. Lalu turunlah ayat “Dan dirikanlah solat pada sebahagian hari dan hujung malam, sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan, itu adalah ingatan kepada mereka yang mengingati” [Surah Hud, ayat ke-116]. Lalu lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, adakah bagiku (sahaja) hal ini?” Sabda Nabi: “Bahkan bagi orang melakukannya daripada umatku”.  Riwayat Imam Bukhari (1/140) dan Imam Muslim (8/101).

Lelaki tersebut telah melakukan zina kecil, iaitu mencium seorang perempuan bukan mahram. Bagaimana untuknya menghapuskan dosa zina kecil tersebut? Jawabnya adalah dengan berbuat kebaikan, insyaAllah kebaikan yang dibuat itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan.

APA HUKUM BERCINTA?

Pertamanya, apa maksud bercinta itu? Adakah maksudnya memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan? Atau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain?

Saya rasa semua bersetuju bahawa kalau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain maka saya kira semua daripada kita akan bersetuju tentang keharamannya.

Tetapi kalau maksudnya, memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan, apakah juga termasuk dalam perkara yang haram? Apakah yang salahnya di situ? Mungkin ada yang akan menjawab, tak boleh, kerana bercinta sebelum kahwin itu akan mengundang dosa dengan melakukan perkara-perkara tak baik.

Baik kalau begitu, bercinta itu tidak haram pada asalnya tetapi bertukar menjadi haram kerana tidak mematuhi batas-batas yang dibenarkan. Pendek kata, pengharaman itu berlaku bukan pada perasaan tersebut tetapi pada perkara luar. Atau dengan bahasa usul Fiqhnya cinta itu bukannya حرام لذاته / haram lizatihi, tetapi bertukar menjadi  حرام لغيره / haram lighairihi kerana perkara lain.

Bermakna selagi mana batas-batas pergaulannya terjaga maka cinta itu tiada sebab dan alasan untuk diharamkan.

Justeru, tidak sepatutnya wujud antara kita yang semudah-mudahnya mahu menghukum mereka yang menyimpan perasaan cinta antara satu sama lain itu sebagai haram kerana perasaan cinta itu adalah fitrah manusia yang suci.  Hanya apabila batas-batas pergaulan dilanggar barulah hukumnya bertukar menjadi haram.

Makan daging lembu itu adalah halal, tetapi makan daging lembu yang dicuri adalah haram, bukan kerana daging itu, tetapi kerana masalah curi. Bagi menghalalkan kembali daging tersebut, bayar sahaja wang harga daging kepada tuan punyanya.

Begitu juga dengan cinta. Menyimpan dan berkongsi perasaan cinta dengan bukan mahram itu adalah satu perkara fitrah dan diharuskan dalam agama, tetapi apabila perasaan itu disertai dengan kehendak untuk persetubuhan haram (zina), maka diharamkan, bukan kerana perasaan tersebut tetapi kerana niat untuk persetubuhan haram tersebut. Justeru, bagi menghalalkan kembali hubungan cinta yang terjalin, perkara-perkara haram yang timbul perlu dibuang.

Memiliki dan berkongsi perasaan cinta ini yang halal ini diperakui oleh Nabi s.a.w dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال: “يا رسول الله في حجري يتيمة قد خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب الموسر وهي تحب المعدم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لم نر للمتحابين غير النكاح)”. أخرجه ابن ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى (11/17، رقم 10895)، والحاكم (2/174، رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم، والبيهقى (7/78، رقم 13231).

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah s.a.w: (Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali kahwin)”.  Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874), At-Tabarani (11/17, no 10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata bahawa “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi (7/78, no 13231).

Nabi langsung tidak mencela perasaan cinta yang dimiliki anak yatim perempuan tersebut sebelum berkahwin. Nabi hanya berkata bahawa perkara yang sesuai kepada orang yang saling menyintai itu adalah kahwin.

Hadith seterusnya berkenaan cinta Mughith kepada Barirah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: يَا عَبَّاسُ، أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا). فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ رَاجَعْتِهِ). قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ) قَالَتْ: لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ. أخرجه البخارى (5/2023، رقم 4979)، وأبوداود (2/270، رقم 2231)، والنسائى (8/245، رقم 5417)، وابن ماجه (1/671، رقم 2075)، وأخرجه أيضًا ابن حبان (10/96، رقم 4273).

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas (dia berkata): “(Bekas) Suami Barirah adalah seorang hamba dipanggil Mughith. Seolah-olah aku melihatnya sekarang mengekori belakang Barirah dengan bercucuran air mata atas janggutnya. Nabi lalu berkata kepada Abbas: (Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?. Kata Nabi kepada Barirah: (Kalaulah kamu dapat kembali kepadanya). Barirah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kamu memerintahkan aku? Nabi berkata: (Aku hanya menjadi juru runding). Barirah berkata: “Aku tak punya hajat pada Mughith”. Hadith riwayat Imam Bukhari (5/2023, no 4979), Abu Daud (2/270, no 2231), Imam An-Nasa’I (8/245, no 5417), Ibnu Majah (1/671, no 2075), juga Ibnu Hibban (10/96, no 4273).

Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah:

1. Nabi tidak pernah melarang Mughith daripada terus mencintai Barirah walaupun Barirah telah menjadi ajnabiyyah buatnya.

2. Nabi bahkan mengambil inisiatif bagi melihat cinta itu berjaya dengan memujuk Barirah supaya kembali kepada Mughith, tetapi apakan daya Barirah tetap menolak.

3. Nabi tidak memberikan sebarang komen terhadap Mughith yang setia mengekori Barirah untuk memujuknya. Bahkan Nabi bersabda kepada Abbas: (Tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?)

Lihat bagaimana ajaran Islam yang bersifat sesuai dengan realiti kehidupan berdepan dengan masalah manusia. Sayangnya ajaran Islam yang bersifat realistik dan meraikan fitrah manusia ini, dicemarkan oleh sebahagian daripada kita yang terlampau bersemangat dalam membasmi masalah gejala sosial, sehingga dalam sedar atau tidak sedar mereka turut membasmi fitrah manusia dan menjadikan ajaran Islam seolah-olah hanya merupakan fantasi kehidupan yang tidak pernah wujud.

Islam datang bukan untuk berkata: “Jangan menyintai dan buang perasaan cinta itu”, tetapi datang dengan mengajarkan kita bahawa andainya kamu jatuh cinta, maka barhati-hatilah agar cinta itu tidak membuatkan kamu terpesong daripada kebenaran.

Islam juga datang bukan untuk mengatakan kepada kita: “Jangan kamu membenci sesama kamu”, tetapi datang untuk mengajarkan andainya kamu membenci seseorang maka biarlah berpada-pada jangan sampai membutakan kamu daripada kebenaran.

Jatuh cinta adalah perkara yang tidak mampu dikawal, hal itu terletak  pada kuasa Allah dan Allah tidak akan menzalimi hambaNya dengan membebankan mereka dengan perkara-perkara yang tidak mereka mampu melakukannya. Masalah yang diperbahaskan dalam ilmu usul fiqh sebagai التكليف بما لا يطاق / Attaklif bima la yutaq.

Sedangkan Nabi sendiri pun meminta pengecualian daripada Allah dalam urusan berlaku adil antara isterinya dalam perkara yang melibatkan hati dan perasaan.

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ، وَيَقُولُ: (اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ). قال الترمذي: إِنَّمَا يَعْنِي بِهِ الْحُبَّ وَالْمَوَدَّةَ كَذَا فَسَّرَهُ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ. أخرجه الترمذي (1140)، وأبو داود (2134)، والنسائي (7/63).

Maksudnya: Daripada Aisyah bahawa Nabi membahagikan antara isteri-isterinya dengan adil dan dia berkata: “Ya Allah, ini adalah pembahagian aku daripada apa yang aku miliki, janganlah Engkau mencela aku pada perkara yang Engkau miliki tapi tidak aku miliki”. Berkata Imam Tirmizi: Sesungguhnya yang dimaksudkan itu adalah perasaan cinta dan sayang sebagaimana tafsiran ahli ilmu.  Hadith dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1140), Imam Abu Daud (2134), dan Imam Nasa’I (7/63).

Jelas melalui hadith tersebut bahawa perasaan cinta dan sayang tidak mampu dikawal oleh manusia. Mustahil bagi seorang lelaki yang beristeri empat contohnya mahu berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam soal hati dan perasaan. Sebab itu Nabi sendiri memohon kepada Allah supaya tidak mencelanya pada perkara yang tidak dimiliki olehnya dan tidak termampu baginya untuk melakukan.

Hal sebegini disedari dengan baik oleh para sahabat. Dalam suatu kisah yang melibatkan Sayyidina Umar sendiri diceritakan bahawa telah datang kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Wahai Amir Mukminin, sesungguhnya aku telah melihat seorang perempuan lalu aku jatuh cinta kepadanya”. Lalu Sayyidina Umar Bin Khattab berkata: “Itu adalah perkara yang tidak mampu dikawal”. Rujuk Al-Jawab Al-Kafi oleh Ibnul Qayyim, m/s 164, cetakan Darul Kutubil Ilmiyyah.

Hal ini berlaku kerana sememangnya manusia itu akan mudah jatuh cinta kepada sesiapa yang berkongsi keserasian dengannya, bak sabda Nabi dalam sebuah hadith:

الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف

أخرجه البخارى (3/1213، رقم 3158).ـ

Maksudnya: “Roh-roh itu adalah ibarat tentera yang saling berpasangan, mana-mana roh yang secocok maka roh-roh itu akan bersatu, mana-mana roh yang tak secocok maka roh-roh itu akan berselisih”. Dikeluarkan oleh Imam Bukhari (3/1213, no 3158).

CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN

1. “Astaghfirullahalazim!  Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram  sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM berdosa.”

Komen saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa???

2. Zinanya hati ini berlaku apabila hati kita menginginkan sesuatu yang haram bagi kita secara berlebih-lebihan. Sebagai contoh, keinginan itu seperti ingin dirindui, dicintai, dibelai, mengingati si dia lebih daripada kita mengingati Tuhan.

Komen saya: Masih gagal memahami maksud zina hati dengan baik. Yang pertama katanya zina hati adalah: Menginginkan perkara haram secara berlebihan. Kalau begitu,  menginginkan perkara haram secara tak berlebihan tu kira oklah ya???

Yang kedua, contoh yang diberikan itu satu pun tidak termasuk dalam zina hati, hal-hal itu bukan termasuk dalam bab zina hati, tetapi termasuk dalam bab lagha dan melakukan perkara yang harus dengan berlebihan.

3. Seorang lelaki teringatkan perempuan, itu zina hati kan? Saya pun kurang jelas dengan konsep zina hati ni. Jadi maknanye kalau teringat saja kat bukan mahram kita tu dah kira zina ya? Satu lagi, lelaki tersebut sahaja yang berdosa atau pun keduanya?

Komen saya: Lelaki ingatkan perempuan itu zina hati? Perempuan ingatkan lelaki zina hati? Hehe… luasnya skop. Kalau macam tu, lelaki lepas ni janganlah ingat kepada ustazah kat sekolah, perempuan pula jangan ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua zina hati tu, berdosa tau tak… hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina hati itu pun tak faham, mudah-mudah sahaja memberi pandangan.

Adapun soal siapa yang berdosa dalam hal ini, jawabnya tiada sesiapa yang berdosa baik lelaki mahupun perempuan kerana itu bukan zina hati.

4. Saya ada kemusykilan di sini. Seandainya pasangan ini sudah berniat untuk berkahwin, adakah rindu antara mreka juga dikatakan zina hati?

Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin.”

Komen saya: Soalannya bagus. Tetapi jawapan yang diberikan oleh ustazah itu cukup mengecewakan. Ustazah, tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik sebelum memberikan jawapan. Boleh ustazah?

5. Dalam tak sedar, kita boleh melakukan zina. Benda yang kita tak nampak, tapi dosa besar. Dalam diam, kita dah lakukan zina. Bukan dari luaran, tapi dalaman. Astghfirullahala’zim. Kita sekarang terlalu terdedah dengan benda-benda yang lagha. Lupa mengingati Allah.

Komen saya: Dosa besar? Sejak bila pula zina tangan, kaki, mata, mulut, hati itu tergolong dalam dosa besar? Telah saya jelaskan bahawa itu semua termasuk dalam kategori dosa kecil yang disebut sebagai Al-Lamam. Dosa sebegini terampun hanya dengan melakukan perkara kebaikan biasa seperti berwudhuk, solat, zikir dan sebagainya lagi tanpa memerlukan taubat khusus.

Soal lagha dan lupa mengingati Allah itu soal lain. Kalau nak bercerita tentang lupa mengingati Allah ni, semua manusia tidak terlepas termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana kita adalah manusia bukan malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik, jangan cuba menjadi malaikat.

Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi berkata: “Apa maksudmu?” Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi: “Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa-masanya”. Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937)

6. Jika kita rindu seseorang ajnabi kerana kita memang couple dengan dia, tak kiralah berjumpa atau tidak, itu dikira zina hati. Kalau tak couple, tapi mungkin minat, dan lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa, pada mulanya fitrah, tetapi apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah, itu boleh menjadi zina hati.

Komen saya: Pulak dah, ada beza pula ya antara yang bercouple dengan tak bercouple. Jawapan yang langsung tiada asas ilmu, sekadar mengagak-agak.

7. Saya selalu digosip kawan-kawan dengan seseorang, bila nama orang tu disebut-sebut, saya akan teringat kepada dia dan ini menyebabkan saya terpalit dengan dosa zina hati kerana mengingati seseorang yang bukan mahram dengan saya. Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa saya.

Komen saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas ni janganlah ingat langsung kepada sesiapa yang bukan mahram anda. Sepupu anda, cikgu anda, pak guard sekolah anda, perdana menteri negara anda, kerana itu semua bukan mahram anda tu. Zina hati tu… Hai, mudah-mudah saja membuat hukum ya.

8. Nak tanya sekejap. Zina hati tu dikira apabila kita teringat seseorang yg berlainan jantina untuk seketika atau teringat selalu hingga termenung?

Menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”.

Komen saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak sangka, ada juga jawapan sebegini. Teringat seketika pun tak boleh ya, kena selalu ingat Allah sepanjang masa 100 peratus ya. Macam tu sahabat Nabi pun kalah dengan awak. Hebat betul awak ya, sama taraf dengan malaikat.

Dalam Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita ingat kepadaNya sentiasa kerana itu adalah perkara yang mustahil dan ulama menyebut bahawa Allah tidak sekali-kali membebankan manusia dengan perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Sebab itu, Allah hanya menyuruh kita supaya banyak ingat kepadaNya, bukan selalu ingat kepadaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-41:

((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً))

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak”.

9. Sekarang ni saya tengah buntu. Saya sekarang bercinta dengan seseorang. Tapi kami mahukan perhubungan kami diredhai Allah. Tetapi baru-baru ni saya ada baca nota yang mengatakan bercinta adalah haram dalam Islam. Betul ke? bercinta juga mendekatkan diri kepada zina iaitu zina hati. merindui dan mengingati antara satu sama lain. Jadi, apakah yg perlu saya buat?

Maka berfatwalah seorang rakannya: “Bercinta tu memang haram. Bila dah bercinta kita selalu rindu, kadang-kadang ingat kat dia dan macam-macam lagi. Itulah yang dinamakan zina hati. Sebab itu, bercintalah selepas kahwin”.

Komen saya: Sama juga masalah dengan mereka yang sebelum ni. Keliru dengan maksud bercinta, lepas tu tak memahami erti zina hati.

Adapun soal bercinta sebelum atau selepas kahwin, kalau dimaksudkan dengan perasaan cinta, maka bagi saya perasaan cinta itu perlu ada sebelum kahwin bukan selepas kahwin, manakala aktiviti percintaan itulah yang dilakukan selepas kahwin. Sebab itu Nabi menyuruh sahabatnya kalau nak melamar perempuan tu tengok dulu, supaya timbul perasaan cinta dalam hati. Kalau setelah melihat tapi tidak timbul rasa cinta dan berkenan tu, maka cari yang lain.

10. Bagi saya memang zina hati susah untuk dihindari terutama zaman sekarang. Lebih-lebih lagi zaman teknologi sekarang. Walaupun dengan bermesej, boleh diragukan kita buat zina tangan. Itu zina tangan, kalau dah zina luaran, macam mana pula dalaman?

Komen saya: Astaghfirullah, pandangan yang penuh dengan ta’annut dan tasyaddud. Gagal dalam memahami maksud zina hati dan zina kecil yang lain. Bermesej di telefon itu zina tangan?? Kalau anda bermesej mengajak kepada persetubuhan, semestinya itu zina tangan, tapi kalau sekadar bertegur sapa pun nak dilabelkan sebagai zina, maka anda tersasar jauh.

Memang berhubung antara lelaki dan perempuan hanya perlu apabila ada keperluan. Tapi kalau tiada keperluan dan sekadar menggatal, tidak boleh sewenang-wenangnya dengan mudah mengkategorikan hal itu dalam bab zina tangan tetapi dikategorikan dalam bab buat perkara lagho tak berfaedah.

Sudahlah gagal memahami maksud zina-zina kecil tu, gagal pula membezakan antara mereka yang melakukan zina kecil dengan mereka yang melakukan perkara-perkara lagho tak berfaedah.

11. Zina hati sebenarnya apabila kita mengingati seseorang secara berlebih-lebihan.

Komen saya: Fahaman yang juga tersasar.

12. Macam mana kalau teringatkan lelaki yang kita hanya pernah berjumpa dengannya dalam mimpi, tapi kita tak kenal pun kat alam nyata ni, kira zina hati juga ke?

Komen saya: Lihat bagaimana kegagalan memahami maksud zina hati menyebabkan timbulnya soalan-soalan yang tak sepatutnya timbul.

13. Saya pun ada juga zina hati ni kerana teringatkan kawan lelaki. Nak buat macam mana nobody’s perfect except our prophet. Tapi macam yang dah dinasihatkan oleh rakan supaya bila teringatkan seseorang (si dia) kita hendaklah membaca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah.

Komen saya: Gagal dalam memahami zina hati dan mengenal pasti penyakit sebenar, kemudian cuba mereka-reka ubat sendiri. Baca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah? Hehe…lucu juga dengan petua yang diberikan.

14. Memang susah nak hindari zina hati. Susah sangat. Apabila teringatkan si dia, susah nak lupakan. Tapi nak tanya ni, apa dosanya kalau kita buat orang lain zina hati? Contohnya: Kita buat orang lain berkenan kat kita.

Komen saya: Masih juga tak faham-faham dengan maksud zina hati.

15. Zina hati yang paling ketara dalam jiwa remaja zaman sekarang adalah kamu merindui si dia, kamu sentiasa terbayang si dia, kamu tak dating, tak jumpa dengan si dia, tak keluar makan-makan,  tapi kamu masih terbayang pada si dia. Bukti yang paling ketara, inbox kamu penuh dengan mesej si dia. Bayangkan sahaja, seorang remaja yang cukup komited dengan dakwah tetapi mereka bercinta. Bayangkan presiden BADAR kat sekolah bercinta. Ya Allah! tak dating, tak keluar makan-makan, tak berutus surat, tapi saling berbalas mesej dengan beralasankan “Eh takpe, aku hantar mesej pasal hadith la kat dia. Saling nasihat menasihati”. Astaghfirullah, itulah contoh-contoh zina hati. Nama pun hati, mesti la dalam hati. Betul tak?

Komen saya: Tak betul langsung. Saudara, itu tidak termasuk dalam bab zina hati. Itu gedik dan mengada-ngada termasuk dalam bab buat perkara-perkara tak berfaedah atau lagha. Saya lebih suka mengistilahkan percintaan sebegitu sebagai percintaan yang “poyo”.  Percintaan pra-matang remaja baru nak up.

Sabda Nabi s.a.w: “Antara keelokan Islam seseorang itu, dia meninggalkan apa yang tak patut baginya”. Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317) dan dia berkata: Gharib. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no 3976) dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229).

16. Sebenarnya, saya ada satu soalan. Begini, seorang lelaki amat menyayangi seorang perempuan bukan mahram ini, tetapi dia tidak merinduinya. Adakah ini tergolong dalam zina hati juga? Sebab saya masih tak berapa jelas dengan maksud zina hati.

Komen saya: Apabila gagal untuk memahami zina hati dengan baik, kemudian dimomokkan pula dengan fahaman-fahaman yang salah tentang zina hati, maka diri sendiri mencari jalan keluar dengan mereka-reka perkara yang tak masuk akal. Seorang kekasih menyintai kekasihnya, tetapi mereka tidak rindu, adakah ini juga termasuk dalam zina hati? Ahaha…

Tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik, perasaan cinta antara kekasih dengan kekasihnya tidak dikira zina hati, juga perasaan rindu. Kalaupun perasaan cinta dan rindu itu melampaui batas, itu tidak termasuk dalam bab zina hati, itu termasuk dalam bab berlebih-lebih dalam perkara-perkara yang harus. Yang menjadi zina hati adalah perasaan atau keinginan hati untuk melakukan dosa zina iaitu bersetubuh dengan kekasih tersebut. Faham!!!

17. Saya takut diri saya terjebak dengan “zina hati” apabila saya teringat pasal si dia. Biasanya, saya akan membayangkan saat-saat kami berjumpa, kata-kata dia dan kadang-kadang saya macam berangan-angan berumah tangga dengan dia. Selalu terbayang dalam fikiran saya, kehidupan kami sebagai suami isteri contohnya, saya masak untuk dia, bermesra dengan anak-anak dan sebagainya. Itu memang selalu saya fikirkan. Adakah itu salah satu dari “zina hati”? Saya juga tak boleh kawal perasaan rindu setelah kami berjauhan. Perasaan tu la yang buat saya lalai sedikit sebanyak. Saya cuba tenangkan fikiran saya dengan solat sunat, baca Al-Quran tapi tu tak kekal lama.

Komen saya: Amboi-amboi, jauhnya akak berkhayal. Itu bukan zina hati tu kak, itu angau namanya. A N G A U: Angau. Parah benar nampaknya tu. Walaupun bukan termasuk dalam zina hati, tetapi eloklah dielakkan perkara-perkara lagho sebegitu, sibukkan diri dengan perkara-perkara berfaedah, jangan sampai terbuang masa kerana berkhayal.

18. Saya telah mengambil keputusan meninggalkan pasangan saya kerana saya tahu ianya sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Dan alhamdulillah saya juga telah mengambil langkah dengan bernikah dengan seorang gadis melalui cara yang lebih baik iaitu melalui pernikahan secara Islamik.

Komen saya: Astaghfirullah, bercinta dengan seorang gadis, kemudian merasakan perkara itu sebagai salah lalu memutuskan hubungan. Kemudian mengambil langkah penyelesaian dengan berkahwin dengan gadis lain?

Mengapalah “terlampau cerdik” sampai ke tahap ini? Kalaupun anda merasakan hubungan anda itu salah dan berdosa, apa yang anda perlu lakukan adalah bertaubat daripada dosa dan  membaiki dosa tersebut.

Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-39.

((فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ))

Maksudnya: “Sesiapa yang bertaubat selepas kezaliman yang dilakukan dan membaiki kesilapannya maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa ke atasnya”.

Seorang pencuri, apabila sedar dan insaf atas dosa yang dibuat, maka dia perlu bertaubat daripada dosa mencuri tersebut, dan membaiki dosa tersebut dengan memulangkan kembali segala barang-barang yang dicuri.

Seorang lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan sehingga terjebak ke dalam perkara-perkara dosa, apabila sedar dan insaf perlulah bertaubat daripada dosa yang dilakukan, dan membaiki dosa tersebut. Bagaimana untuk membaiki dosa tersebut? Iaitulah dengan mengahwini perempuan itu.

Bukannya dengan memutuskan hubungan dan kemudian berkahwin dengan perempuan lain. Mengapa mahu berkahwin dengan perempuan lain sedangkan si dia ada dan masih menyimpan cintanya terhadap kamu?

Adakah pada pandangan anda perempuan itu tidak layak diperisterikan kerana sudah ternoda? Ooo, kiranya kamu bersihlah tiada noda? Siapa yang menodainya? Kamu juga. Kononnya nak mencari yang suci bersih walhal diri sendiri terpalit dengan kekotoran. Jenis manusia yang tak sedar diri.

19. Ana dulu pun couple gak. Sejak sekolah sampai dah masuk universiti, dekat nak gred. Tapi apabila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana terus tinggalkan walhal ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana, yang akan jadi ibu kepada anak-anak ana.

Komen saya: Ke’tidak cerdikan’ yang sama berulang. Anda dah punya niat suci untuk memperisterikannya, kemudian memutuskan hubungan itu setelah merasakan hubungan itu salah pada pandangan anda.

Sepatutnya, baikilah apa yang anda rasakan salah itu dan teruskan niat suci anda untuk memperisterikannya. Semudah itu pun masih tak faham? Mengapa masih juga mengambil tindakan yang tak cerdik?

MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA

Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih daripada membaiki.

Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih daripada skop asalnya.

Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah (pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun, semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh, apabila wujud sebahagian daripada sahabat Nabi mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga tidak meratakan air ke tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi memberikan amaran keras kepada mereka berupa seksaan api neraka.

Sebaliknya apabila ada pula sebahagian sahabat yang memayah-mayahkan urusan berwudhuk sehingga membasuh anggota wudhuk secara berlebihan, maka Nabi berkata bahawa basuhan wudhuk itu hanya tiga kali. Andainya masih wujud keraguan dalam hati tidak rata, maka usah dilayan, itu hanya was-was syaitan.

Caranya adalah bersikap keras kepada mereka yang nampak mempermudah-mudahkan agama, dan bermudah-mudah bagi mereka yang nampak memayah-mayahkan agama. Tetapi perlu diletakkan dalam kepala bahawa tujuan akhirnya adalah supaya kedua-dua golongan tersebut kembali kepada kesederhanaan dalam beragama.

Kata Imam Syatibi: Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka engkau akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada sisi lain.

Sisi memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang) didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan agama.

Sisi memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama.

Kalau tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu lebih utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal yang menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar Ibni Affan)

Janganlah terlampau mempermudahkan dan jangan terlampau menyusahkan. Ambil jalan pertengahan. Untuk pesakit darah tinggi, berikan ubat yang menurunkan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan normal. Pesakit darah rendah pula, berikan ubat yang meninggikan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan tahap normal. Apa yang penting adalah memastikan kenormalan tekanan darahnya.

Akhir kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik. Andai timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka bak kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”. Hehe sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang sepatutnya.

Sememangnya muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu memang sesuatu yang bagus. Tapi men’dosa’kan diri dengan perkara yang bukan dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud yang ditegah dalam beragama.

Islam tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang baik.

Sumber : Ahmad Fathi

Kerjaya Arkitek

Posted by alumnimrsmtawau On 10:37 AM




TUGAS seorang arkitek ialah mereka bentuk sesuatu bangunan yang sesuai
dengan kehendak-kehendak pengguna, kos, alam sekitar dan memenuhi
syarat-syarat undang-undang dan akta perancangan setempat.
seorang arkitek bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengawasi
pelaksanaan sesuatu projek bangunan dari mula hingga ke akhir.

SYARAT-SYARAT

Sekiranya berminat untuk memilih bidang itu sebagai kerjaya, seseorang perlu
lulus Sarjana Muda Seni Bina dan institusi pengajian tinggi tempatan atau luar
negara yang diiktiraf.
Mereka juga perlu lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Arkitek
Malaysia dan Pertubuhan Arkitek Malaysia bagi mendapatkan pengiktirafan
sebagai arkitek bertauliah.
Terdapat beberapa cara untuk melanjutkan pengajian di bidang ini:
Di Universiti Teknologi Malaysia ( misalnya, para pelajar perlu mendapatkan
kelulusan yang baik di peringkat atau mereka perlu mendapat lima kepujian
dalam lima mata pelajaran termasuk bahasa Melayu dan matematik. Pelajar
akan mengikuti pengajian selama tiga tahun dan dianugerahkan diploma.
Pelajar yang layak akan dibenarkan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah
untuk tempoh tiga tahun.
.
Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan.
Matrikulasi Sains menawarkan tempoh pengajian selama satu setengah tahun
sebelum mengikuti pengajian Sarjana Muda Seni Bina di UM dan
Program ini memerlukan calon lulus peperiksaan serta mendapat kepujian
bahasa Melayu, Matematik, serta tiga mata pelajaran yang lain.
Terdapat pelbagai saluran lain lagi untuk mengikuti bidang ini.
Untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Seni Bina di UM dan calon
perlu lulus dan mendapat sekurang-kurangnya lima kepujian dan lulus bahas
melayu.
Calon juga perlu lulus STPM dengan mendapat prinsipal yang baik, khususnya
dalam mata pelajaran Matematik dan Fizik.

Sumber : www.web.usm.my

Kerjaya Akauntan

Posted by alumnimrsmtawau On 10:12 AM


Klik untuk paparan lebih jelas

Perakaunan masih merupakan satu bidang penting tetapi masih kurang penglibatan khususnya di kalangan bumiputera. Kerjaya yang melibatkan seseorang itu dengan angka dan pengiraan mungkin merupakan faktor utama pelajar kurang berminat menceburi bidang ini.

Perkembangan pesat sektor ekonomi dan perdagangan negara sejak kebelakangan ini membuka ruang yang cukup luas kepada lulusan di bidang ini. Perkembangan teknologi maklumat meningkatkan lagi peranan bidang ini dan segi  pengurusan dan pengkomputeran sesebuah organisasi.

Program sarjana muda perakaunan yang ditawarkan oleh universiti/instjtusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bertujuan mengembangkan ilmu perakaunan di peringkat tinggi kepada pelajar. Di samping bertujuan menyedarkan masyarakat umum tentang peranan, sumbangan dan dunia perakaunan melalui penyelidikan sistem-sistem perakaunan yang sedia ada. Dengan adanya program ini universiti/IPT berupaya mengeluarkan siswazah-siswazah bertaraf profesional di bidang perakaunan sejajar dengan keperluan negara.

Kursus-kursus dan program perakaunan telah distruktur­kan untuk membentuk kebolehan pelajar menjadi pengurus maklumat, pembuat keputusan serta menjadi perancang dan pengawal aspek-aspek kewangan organisasi supaya dapat membentuk sikap profesional dalam kerjaya mereka, sama ada sebagai akauntan awam atau sebagai akauntan yang berkhidmat di organisasi awam atau swasta.

Antara kursus yang diajar semasa pengajian termasuklah perakaunan kewangan, perakaunan kos, undang-undang komisen, percukaian, perakaunan untuk pengurusan, undang­-undang perniagaan, prinsip perakaunan perniagaan, analisis penyata kewangan, pengauditan, sistem perakaunan, kawalan perakaunan sektor awam dan sistem maklumat perakaunan.

Lulusan yang mengikuti program ini seharusnya ber­keupayaan memulakan kerja sebagai akauntan, juruaudit, menjawat jawatan di peringkat pengurusan pertengahan atau guru perakaunan, eksekutif kewangan dan pengurus. Malah, peluang pekerjaan di bidang ini banyak terdapat di sektor awam dan swasta termasuk bank, institusi kewangan dan firma akauntan, di bidang pendidikan, pembangunan har­tanah dan dunia pelaburan.

Bagi yang berminat dengan kerjaya Akauntan Awam Bertauliah (CPA), mereka yang memiliki Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Perakaunan perlu mengikuti latihan dan peperiksaan profesional anjuran Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA). CPA diiktiraf sebagai satu kerjaya yang tinggi tarafnya dan amat diperlukan dalam sesebuah organisasi sektor awam atau swasta.


CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN

(i) Berminat dengan profesion ini
(ii) Berpengetahuan di bidang matematik
(iii) Berminat dengan perkembangan bidang ekonomi dan perdagangan
(iv) Mempunyai pengetahuan tentang komputer

TEMPAT MELANJUTKAN PENGAJIAN

Beberapa universiti tempatan ada menawarkan program perakaunan di peringkat sarjana muda iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Universiti Malaya (UM),
Universiti Putra Malaysia (UPM),
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Universiti Utara Malaysia (UUM),
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan
Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Universiti-universiti di luar negara seperti di Amerika Syarikat, New Zealand, Australia dan United Kingdom turut menawarkan program ini.

Universiti-universiti swasta seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Telekom juga menawarkan kursus ini di peringkat sarjana muda.

Di peringkat diploma, IPT tempatan yang menawarkan program ini termasuk Universiti Teknologi Mara(UiTM), politeknik Kementenian Pendidikan, Kolej Sultan Abidin (KUSZA), maktab perguruan dan beberapa pengajian swasta.

SYARAT YANG DIPERLUKAN UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIAN

(i) Peringkat sijil atau diploma
Pelajar harus lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mendapat kepujian bahasa Melayu dan matematik.

(ii) Peringkat ijazah sarjana muda
Terdapat tiga cara untuk mengikuti program perakaunan di peringkat ini:
   
Cara pertama: Pelajar perlu mendapat kelulusan baik peringkat SPM serta kepujian bahasa Melayu dan matematik untuk dipilih masuk ke program matrikulasi ekonomi perakaunan. Selepas menamatkan pengajian di peringkat pelajar akan ditawarkan ke peringkat ijazah pertama.
   
Cara kedua: Pelajar harus mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta mendapat prinsipal yang baik dalam mata pelajaran ekonomi atau perakaunan. Calon akan ditawarkan terus ke peringkat ijazah pertama.
   
Cara ketiga: Mereka yang memiliki Sijil atau Diploma Per¬akaunan atau kelulusan lain yang berkaitan dari universiti / IPT tempatan juga berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama.
 
Cara keempat: Untuk melanjutkan pengajian di UiTM, calon perlu lulus Diploma perakaunan dan UiTM atau diploma lain yang boleh dipertimbangkan.
 
Cara kelima: Program pengajian ke mar negara anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil calon yang lulus pangkat satu SPM. Calon perlu lulus kepujian bahasa Inggeris serta mendapat tiga agregat dalam gabungan mata pelajaran matematik, prinsip akaun atau ekonomi asas atau perdagangan.
 
Cara keenam: Bagi kemasukan ke universiti-universiti swasta, calon lepasan SPM/SPMV atau STPM boleh memohon masuk dengan syarat mendapat sekurang-kurangnya lima kepujian termasuk bahasa Inggenis, bahasa Melayu dan matematik di peringkat SPM/SPMV. Bagi calon STPM mereka perlu lulus sekurang-kurangnya tiga prinsipal termasuk mata pelajaran ekonomi atau matematik atau perakaunan.

Sumber : Laluan Kerjaya

Penolong Pegawai Perubatan

Posted by alumnimrsmtawau On 4:42 AM





KERJAYA penolong pegawai perubatan atau MEDICAL ASSISTANT adalah salah satu prospek kerjaya yang amat baik. Tidak semua orang tahu akan kewujudan MA di pusat-pusat kesihatan kerana MA sering juga dianggap sebagai salah seorang doktor. Namun, MA juga sebenarnya adalah doktor yang merawat pesakit dalam kes-kes umum. Kerjaya MA menjanjikan kepuasan bagi mereka yang berminat dalam menjalankan pemeriksaan dan rawatan kepada pesakit dan berinteraksi secara kerap dengan pesakit.

a(i). Latihan Penolong Pegawai Perubatan:

Jantina : Lelaki dan Perempuan
Tempoh Latihan : 3 tahun
Biasiswa Semasa Latihan : RM621.21 sebulan
Kem/Jab : Kementerian Kesihatan Malaysia

a(ii). Tempat Latihan : 
i) Kolej Pembantu Perubatan, Ulu Kinta, Perak
ii) Kolej Pembantu Perubatan Seremban, Negeri Sembilan
iii) Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, Kedah
iv) Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Kuching, Sarawak

b. Syarat Latihan:


i) Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; dan

iilulus Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

c. Syarat Kenaikan Pangkat Secara Lantikan:

Pegawai sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Pembantu Hospital Rendah adalah layak dipertimbangkan secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan untuk mengikuti Latihan Pembantu Perubatan, apabila telah disahkan dalam perkhidmatan dan:

i) mempunyai kelayakan di para (i) di atas; dan

ii) berumur kurang dari 51 tahun pada tarikh permohonan.

d. Perhatian:

Pelatih-pelatih yang telah tamat latihan di peringkat diploma akan diperakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dilantik ke jawatan Penolong Pegawai Perubatan, Gred U29.

Sumber : Tips Kerjaya