Selamat Datang ke Laman Rasmi Alumni MRSM Tawau, Sabah! Semoga Laman ini memberi INFO kepada anda semua. Salam dari kami, Alumnians MRSM Tawau, Sabah. ( ALMART )

Kejuruteraan

Posted by alumnimrsmtawau On 2:04 PM



KERJAYA jurutera penting dan besar kepada kemajuan negara. Tanpa jurutera, siapakah yang akan merancang dan mereka bentuk projek-projek seperti pengairan, jalan raya, jambatan, perlombongan, jana kuasa dan kilang?

Malah tugas mereka meliputi kajian dan pembangunan, pembinaan, penyenggaraan dan pengawalan, pengeluaran, perundingan, pengurusan serta latihan.

Apa itu kejuruteraan? Kejuruteraan secara umumnya ialah penggunaan pengetahuan sains dan matematik untuk menyelesaikan masalah-masalah praktikal.

Pengetahuan itu digabungkan dengan pengalaman yang dipraktikkan sebaik-baiknya menggunakan bahan dan sumber semula jadi.

Mereka perlu menitikberatkan inovasi mengenai komposisi sesuatu produk dan struktur, mengubah idea-idea baru kepada realiti, menyelesaikan masalah-masalah kemahuan dan kehendak manusia, memperbaiki kaedah-kaedah sedia ada dan merintis kaedah baru dengan menekankan pengetahuan saintifik, kebolehan dan kepandaian yang kreatif.

Pelbagai pengkhususan di bidang kejuruteraan ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Di antara pengkhususan itu ialah kejuruteraan awam, elektrik, elektronik dan sistem, kimia, proses, sumber asli, mekanikal, bahan, komputer, kaji terbang, pembuatan, telekomunikasi dan pertanian.



Perkembangan semasa di Malaysia mendorong permintaan yang tinggi terhadap profesion ini.

Setiap hari, pasti ada syarikat mengiklankan jawatan kosong sebagai jurutera di akhbar-akhbar tempatan.

Walaupun kerjaya ini mencabar, ia mampu memberi kepuasan kepada mereka. Tambahan pula gaji dan imbuhannya lumayan sekali gus mampu menarik minat pelajar untuk menceburi kerjaya ini.



Ciri-ciri peribadi yang diperlukan


1. Mempunyai pengetahuan di bidang sains, matematik dan bahasa

2. Mempunyai kemahiran komputer

3. Tekun dan bekerja keras

4. Mempunyai keinginan untuk berjaya

5. Seorang yang dinamik

6. Dapat bekerja secara berkumpulan

7. Meminati profesion ini


Syarat menceburi bidang ini

Calon harus memiliki ijazah mana-mana bidang kejuruteraan dari universiti tempatan atau luar negara.

Lulusan kejuruteraan perlu menjadi ahli Institute of Engineers Malaysia sebelum boleh mendaftar dengan Board of Engineers Malaysia.

Mereka memerlukan tiga tahun pengalaman pekerjaan yang diiktiraf di dalam bidang-bidang berkaitan sebelum layak ditemuduga bagi mendapat tauliah jurutera profesional.

Tempat melanjutkan pengajian

Universiti yang menawarkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), UKM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO).

UTM, UPM, UiTM dan politeknik Kementerian Pendidikan menawarkan kursus di peringkat diploma.

Universiti-universiti luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand dan Singapura turut menawarkan kursus ini.

Syarat melanjutkan pengajian

Calon perlu lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Vokasional (SPMV) dan mendapat kepujian mata pelajaran matematik moden, matematik tambahan, fizik, kimia, biologi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, calon perlu lulus matematik tulen, matematik gunaan, fizik, kimia, biologi dan pengajian am.

Tempoh pengajian adalah di antara empat hingga enam tahun.

Lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh memohon masuk ke UKM, UM, UPM, USM, UNIMAS, UMS dan UiTM serta universiti-universiti di Australia, Kanada, United Kingdom, New Zealand dan Singapura.

Lulusan program matrikulasi atau asasi sains yang berjaya akan diterima masuk ke peringkat ijazah pertama di universiti-universiti tempatan.

Di UTM pula, kursus kejuruteraan yang memakan masa lima tahun pengajian boleh diikuti secara terus selepas SPM.

Universiti swasta tempatan seperti Universiti Telekom, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Teknologi Petronas juga menawarkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda.

Lulusan diploma dari UTM, UPM, UiTM, politeknik Kementerian Pendidikan dan kolej swasta juga boleh memohon.

Jurutera ialah individu yang terlatih dalam mereka, membuat dan menggunakan (menjaga) jentera atau terlatih dalam mana-mana cabang kejuruteraan seperti jurutera awam, elektrik dan kapal terbang.

Comments
0 Comments